Friday, November 21, 2014

Malaysia menuju negara rahmah: Mampukah Ikram?

Nik Khatijah Nik Mud
Published: 5 November 2014

Pertama kali penulis mendengar tema Perhimpunan Tahunan Ikram (PTI) 2014 yang berlangsung pada 25 Oktober 2014 bersamaan 1 Muharam 1436H, “ Malaysia Menuju Negara Rahmah” yang berjaya menghimpunkan 2500 aktivis dan penggerak serta ahli-ahli Ikram di seluruh Malaysia, hati penulis berasa terpanggil untuk mnghayati dan menggarap maksud sebenar di sebalik tema yang bagi pandangan kerdil penulis merupakan satu tema yang membawa satu misi dan visi besar dalam gerak kerja Ikram.

Menariknya, disaat masyarakat semakin diracuni pemikirannya dengan sogokan berunsurkan perkauman, prejudis terhadap agama dan bangsa oleh segelintir kumpulan yang dilihat cuba memporak-perandakan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia, dengan alasan ingin menegakkan syiar agama dan mempertahankan hak-hak bangsa, Ikram tampil lantang menegaskan prinsip-prinsip pegangan Ikram  yang sentiasa mengimpikan Islam berperanan sebagai agama dialog dan agama yang membawa rahmah kepada semua.
Perancangan bersistematik yang dianjurkn oleh Ikram dalam misi untuk membawa Malaysia menuju negara rahmah patut diberi pujian dan disokong oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik mahupun ideologi.

Ikram semakin lantang dalam menyuarakan pandangan, sehinggakan mampu membawa corak pemikiran baharu di kalangan masyarakat hari ini apabila wujudnya misi menjadikan Malaysia sebuah negara rahmah.

Usaha murni Ikram mencorak pemikiran baharu ini, mampu mengubah persepsi masyarakat yang semakin berselirat dengan pelbagai tohmahan dan fitnah tidak tepat, serta kefahaman tidak jelas terhadap agama dan bangsa.
Langkah ini ternyata merupakan satu percaturan matang yang dilihat mampu membina satu anjakan paradigma, disaat negara sedang bergolak dengan pelbagai konspirasi dan masalah perselisihan kefahaman. Di samping itu juga, usaha ini mampu menyemai benih kasih sayang dan suasana mawaddah diantara ahli masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.
'Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya).(Surah al-Hujurat : 13)
Seperti  firman Allah SWT dalam keterangan ayat di atas, jelas menunjukkan agama Islam itu mengunjurkan kasih-sayang sesama makhluk tanpa mengira bangsa agar manusia itu saling berkenal-kenalan, beramah mesra di antara satu sama lain.
Ayat ini jelas menerangkan konsep permuafakatan yang sepatutnya berlaku dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.  Maka, seharusnya, konflik perkauman, agama dan bangsa tidak wajar dicetuskan dalam masyarakat hari ini, terutamanya oleh umat Islam.

Negara rahmah daripada kaca mata Ikram

Setelah menghadam beberapa noktah penting dalam teks ucapan dasar, disampaikan Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad sempena PTI 2014 baru-baru ini, penulis begitu tertarik mengulas beberapa perkara yang menjelaskan dengan terperinci tentang model sebuah negara rahmah yang menjadi hasrat dan impian Ikram.

Antara ciri negara rahmah mengikut pandangan Ikram adalah negara yang disebut di dalam Al-Quran sebagai  "Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur". Islam itu merupakan agama rahmatan lilalamin. Rahmah buat seluruh makhluk tanpa ada batasan. Ini jelas disebut dalam al-Quran dalam surah Al-Anbiya’,  ayat 107 yang bermaksud; “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (Al-Anbiya’: 107)  
Negara rahmah ini bukanlah idea baru dari Ikram, malahan,  seruan rahmah ini lama tercatat dalam Al-Quran sebagai “Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur” iaitu  negara yg baik dan diampunkan Tuhan. Misi utama Ikram adalah untuk mendaulatkan syariah di negara ini supaya Malaysia menjadi seperti disebut dalam Al-Quran iaitu negara yang membawa kedamaian,keberkatan dan kerahmatan untuk seluruh umat.

Demi mencapai misi utama ini, Ikram bertindak meletakkan dasar-dasar yang jitu ke arah negara rahmah supaya semua ahli bekerja ke arah itu dan masyarakat dapat sama-sama menyokong dan membantu membawa Malaysia menuju negara rahmah.

Selain itu, ciri negara rahmah adalah negara yg meletakkan maqasid syariah sebagai asas kepada pemerintahan dan pentadbirannya. Ini antara ciri yang menekankan betapa pentingnya pemeliharaan kepada perkara asas maqasid syariah dalam konteks perjuangan menegakkan agama yang merangkumi nilai nyawa (Hifzu ad Hayah), agama (Hifzu ad –Deen), intelektual (Hifzu al-Aqli), keturunan (Hifzu an-Nasab) dan harta (Hifzu al-Mal).

Asas Maqasid Syariah ini harus diambil perhatian dan dititikberatkan dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara bagi memastikan perjalanan sesebuah negara itu berlaku dalam keadaan adil, harmoni dah penuh rahmah.

Ciri yang dijelaskan di atas, amat bersinambungan dengan ciri negara rahmah yang seterusnya iaitu menghasilkan sebuah negara yang menaungi semua rakyatnya atas prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan manusia sejagat.

Ciri ini sangat penting dalam melahirkan sebuah negara rahmah kerana konsep adil dan kesamarataan merupakan antara elemen terpenting yang perlu difahami dan diteliti dengan sejelasnya oleh tampuk pimpinan sesebuah negara.

Kefahaman yang rapuh terhadap konsep adil dan saksama ini antara punca utama berleluasanya ketidakadilan dan diskriminasi dalam sistem pemerintahan yang akhirnya akan mencetuskan rasa ketidakpuasan hati dan rasa teraniya dikalangan masyarakat khususnya rakyat marhaen.

Ciri negara rahmah yang turut menarik perhatian penulis adalah negara yang mengamalkan pemerintahan yang didasarkan atas rundingan (syura) dan kesepakatan serta memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara dan memilih kerajaan mengikut lunas-lunas Perlembagaan.
Penulis amat bersetuju dengan ciri dikemuka  Ikram kerana ini merupakan asas yang perlu dipahatkan dalam jiwa setiap pemimpin hari ini. Konsep syura dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan dapat mengelakkan  keputusan yang lebih bersifat mementingkan diri sendiri dan juga mencegah segala tindakan berat sebelah yang diambil tanpa memikirkan kemaslahatan bersama.

Ciri ini juga mampu mempertahankan hak-hak rakyat dalam menyuarakan pandangan dan pendapat dalam memilih pemimpin disamping dapat menggalakkan sikap terbuka para pemimpin dalam meraikan penglibatan rakyat dalam takbir urus negara..

Kesimpulannya, sepertimana harapan Ikram supaya Malaysia kembali mempertahankan keharmonian antara kaum dan agama, penulis juga mengharapkan perkara yang sama serta ingin mengajak semua Muslimin dan Muslimat di seluruh negara supaya memainkan peranan dalam menunjukkan qudwah hasanah iaitu contoh teladan yang baik terutamanya kepada kaum bukan Islam di samping mengamalkan sikap “wasata” atau bersederhana demi memimpin Malaysia menuju negara rahmah yang kita dambakan. – 5 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/malaysia-menuju-negara-rahmah-mampukah-ikram-nik-khatijah-nik-mud#sthash.KjmXgGkN.dpuf